Rancangan penyerahan kuasa Umno kepada Datuk Seri Najib Razak akan
melengkapkan "teori Rahman" yang dianggap satu kaedah menjelaskan
usaha mencari bakal perdana menteri Malaysia.
Sekurang-kurangnya sejak 20 tahun lalu, tokoh atasan Umno termasuk
mereka yang berusaha mencapainya berharap keberkatan teori ini membawa
tuah kepadanya atau pemimpin pilihan mereka.
Suatu waktu dahulu penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap A pada
"teori" yang diambil pada nama perdana menteri pertama itu Tunku Abdul
Rahman Putra Alhaj melengkapkan sebahagian misteri peralihan pucuk
pimpinan negara.
Bagaimanapun, sehingga kini, masih tidak jelas sejak bila teori ini
mula-mula dikemukakan dan siapakah yang memperkenalkannya sehingga
berjaya menangkap khayalan peminat tegar politik negara ini.
Malaysiakini menghubungi tiga penulis politik Melayu berpengalaman dan
tersohor untuk mencungkil asal-usul mitos moden ini – mungkin boleh
dianggap satu-satunya "teori" yang paling tepat untuk menjadi nujum
politik Melayu, setidak-tidaknya untuk melihat siapa pemimpin nombor
satu Umno.
Pengamat-pengamat politik itu bagaimanapun semuanya tidak dapat
mengesan tarikh tepat ia mula diperkenalkan tetapi umumnya bersetuju
ia muncul pada zaman 1980-an, awal pentadbiran perdana menteri keempat
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun mereka sepakat hanya satu nama dalam urutan teori itu, yang
asalnya diramal jatuh kepada Anwar, tidak menjadi kenyataan.
Ketua pengarang mingguan Siasah, Mohd Sayuti Omar percaya teori Rahman
mula-mula dikemukakan oleh penulis politik Ikhwan Nasir dalam tabloid
Mingguan Tanah Air pada pertengahan dekad itu.
"Boleh jadi juga beliau (Ikhwan) yang memulakannya. Beliau memang suka
menggunakan akronim seperti 'jubir' bagi jurubicara rakyat dan 'kadun'
bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya, yang pernah menulis
untuk tabloid itu.
Ikhwan, juga bekas ahli parlimen Pontian dan juga bekas setiausaha
politik Tun Musa Hitam, pemilik akhbar politik yang diterbitkan oleh
syarikatnya SIR Sdn Bhd.
Teori itu, menurut Mohd Sayuti yang mengenali secara peribadi Ikhwan,
sangat berpengaruh pada waktu itu sehingga ada tokoh politik terkenal
mempercayainya.
"(Bekas menteri besar Kedah) Tan Sri Sanusi Junid pernah memberitahu
saya, nama beliau sebenarnya bermula dengan Mohamad," katanya merujuk
kepada huruf M pada nama Rahman.
Terdapat juga buku politik karya Abd Bashid Harun mengupas teori itu
pada pertengahan 1990-an, jelas Mohd Sayuti.
Melalui blognya, Abd Bashid mendakwa beliau pertama kali menulis
tentang "teori Rahman" di Mingguan Tanah Air sewaktu Umno sedang
bergolak antara kumpulan pro-Tengku Razaleigh Hamzah bersama Musa
melawan DR Mahathir menjelang pemilihan parti itu 24 April 1987.
"Dalam kesibukan berkempen dan melobi dalam perhimpunan agung Umno itu
timbullah suara-suara di kalangan perwakilan bahawa baik Tengku
Razaleigh ataupun Musa, mereka tidak akan menjadi perdana menteri.
"(Tanggapan) ini semacam satu takdir yang ditetapkan untuk mereka
berdua. Sebahagiannya pula menganggap pertandingan melawan Dr Mahathir
itu sia-sia sahaja.
"Alasan mereka ialah nama Razaleigh dan Musa tidak termasuk dalam
susunan nama Rahman itu.
"Maka bermula dari situlah bermulanya teori Rahman," tulisnya pada 10
Oktober lalu, dua hari selepas presiden Umno, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi mengumumkan untuk bersara pada Mac tahun depan.
Menurut Abd Bashid - seorang guru di Simpang, Taiping - tulisannya
menghuraikan secara terperinci maksud "teori Rahman", termasuk
"mengupas agak mendalam tentang kedudukan Abdullah dan Anwar sebagai
bakal perdana menteri."
anwar and pak lah 190908Artikelnya itu, kata Abd Bashid, kemudian
diulas oleh lidah pengarang akhbar tersebut yang memetiknya sebagai
"penulis dari Semanggol (Perak)" memaklumkan bahawa "hanya ada
seorang sahaja dari Pulau Pinang yang akan berjaya menjadi perdana
menteri. Orang itu ialah Pak Lah."
Penulis kolum veteran Subky Latiff pula berkata, teori itu mula-mula
dikemukakan oleh ahli parlimen Kepala Batas sebelum Abdullah, Saupi
Ibrahim.
"Seingat saya, Saupi yang mula-mula tulis. Lebih kurang 20 tahun
dulu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Tulisan yang dihasilkan oleh bekas duta itu dalam umur persaraannya,
kata pemimpin PAS dan penulis kolum Harakah itu, diterbitkan di sebuah
akhbar harian dengan gaya popular.
Ditanya kenapa idea itu mendapat perhatian rakyat Malaysia, beliau
berkata: "Ia menarik. Sedap (dijadikan) hujah."
Sementara penulis buku-buku politik terkenal Syed Hussein Alattas
mendakwa teori ini muncul pada awal 1990-an.
Beliau bagaimanapun tidak pasti siapakah yang memulakannya.
Menurutnya, teori itu rancak diperkatakan pada 1990-an apabila Anwar,
yang timbalan perdana menteri, dijangkakan menjadi menggantikan Dr
Mahathir.
"Tetapi akhirnya A itu untuk Abdullah," katanya.
Ketiga-tiga mereka percaya teori Rahman "terjadi secara kebetulan"
sahaja dan tiada asas ketekalan untuk diyakini bulat-bulat.
Namun ia berjaya mempengaruhi orang Melayu termasuk pemimpin politik
yang "kuat percaya kepada mitos," kata Mohd Sayuti.
"Ia memberikan kesan psikologi, mempengaruhi 20-30 peratus
perkembangan politik negara. Kalau selalu diulang-ulang, jadi (kenyataan).
"Tetapi kita tidak boleh percaya seratus peratus."
Syed Hussein, juga popular dipanggil Pak Habib, berkata "teori ini
tidak logik."
Seperti banyak pihak lain, Subky pula mempertikaikan asas penyusunan
huruf pertama pada nama-nama pemimpin yang dikatakan memenuhi urutan
Rahman.
Katanya, bagi perdana menteri pertama, "teori" ini membuang nama awal
Abdul untuk menjadikannya sebagai Rahman sahaja, sedangkan tokoh
seterusnya menggunakan nama Abdul.
"Secara popular, perdana menteri pertama disebut penuh sebagai Tunku
Abdul Rahman, sedangkan perdana menteri kedua lebih dikenali Tun Razak
(tanpa Abdul)," katanya, seorang wartawan berpengalaman sebelum
menyertai PAS.
Bakal perdana menteri yang menduduki huruf keenam dalam "teori Rahman"
bermula dengan nama "Mohd Najib" tetapi nama awalnya tidak diambil
kira dalam teori popular itu.
nih..amik dari yahoo group
untuk mereka yang nak tahu mengenai teori rahman...
bagaimanapun, manusia cuma mampu merancang Tuhan yang menentukan..
No. 3 Squadron Detachment to Kuching airbase
7 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan