Periksa diri, bukan salahkan AllahTAKDIR! Memang manusia sering menyebut perkataan itu, tetapi sejauh mana kita memahaminya? Kita selalu mengucapkannya apabila dilanda musibah sama ada bencana alam, kebakaran, kemalangan, kematian atau kemiskinan.
Bagi sesetengah pihak, mereka lebih meletakkan takdir apabila berlaku sesuatu tanpa mahu memikirkan sama ada diri sendiri patut dipersalahkan kerana kegagalan atau kelemahan diri sendiri mencorakkan kehidupan.Apakah kemalangan kerana memandu terlalu laju dan cuai, terbabit dengan penagihan dadah, hidup melarat kerana tidak mahu berusaha malah hidup bergelumang dengan maksiat kerana nafsu juga mahu dikatakan takdir? Dalam Ops Sikap XIII baru-baru ini, statisik menunjukkan jumlah kemalangan 15,911 kes, berbanding 15,716 kemalangan dalam Ops Sikap XI musim perayaan tahun sebelum ini.Begitu juga laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, 8,269 penagih dadah dikesan, adakah ini juga mahu menyalahkan takdir?Taburan penagih dadah di seluruh negara mendapati majoritinya adalah Melayu dan beragama Islam. Apakah takdir orang Melayu dan beragama Islam memang menagih dadah? Fenomena ini sungguh merugikan bangsa, malah mengaibkan Islam justeru, mengapa mahu meletakkan kesalahan kepada takdir tanpa melihat kelemahan diri sendiri?Begitu juga, perangkaan menunjukkan umat Islam yang mewakili kira-kira 60 peratus penduduk negara ini hanya menguasai 20 peratus pembahagian ekonomi.Kemiskinan, pengangguran dan kualiti hidup di sesetengah tempat masih pada tahap kurang memuaskan. Apakah semua ini kerana suratan takdir yang langsung tidak boleh diubah? Mengapa bangsa lain boleh ke depan dan apakah takdir mereka lebih baik?Memang, kita tidak boleh mempertikaikan Allah pencipta seluruh alam, selaku pentadbir yang menentukan hukum, perundangan dan peraturan bagi segala keadaan makhluk seluruhnya, sama ada yang baik atau buruk. Susunan dan penentuan adanya baik dan buruk itu ialah ketentuan Tuhan yang azali, malah menjadi satu daripada Rukun Iman yang wajib bagi umat Islam. Begitu pun manusia diberikan kesempatan untuk berusaha mendapatkan yang terbaik.“Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (al-Hadiid: 21)Penceramah bebas, Muhamad Fauzi Husin, berkata umat Islam sepatutnya memahami istilah takdir terlebih dulu sebelum menyandarkannya dengan sewenang-wenangnya apabila berlaku sesuatu.“Jika berlaku sesuatu musibah seperti kemalangan disebabkan diri cuai atau tahu risiko jika meredah banjir yang mengakibatkan tenggelam, mengapa mahu menyalahkan takdir.“Dalam situasi ini, kita tidak boleh menyalahkan takdir atau Allah kerana ia berpunca kelalaian diri sendiri. Sikap ini menggambarkan akhlak kita dengan Allah,” katanya.Menurutnya, jika seseorang berusaha, seperti memandu dengan berhemah tetapi masih mengalami kemalangan, malah sudah bekerja dengan gigih tetapi kehidupan masih miskin, itu keadaan
.“Kejadian di luar batasan kita, seperti karam di lautan, memandu dengan berhati-hati tetapi masih juga berlaku kemalangan dan bencana alam seperti tsunami, itu semua tidak boleh hendak dikatakan lagi dan Allah Maha Mengetahui.“Tetapi jika berlaku sesuatu kerana kelemahan dan kelalaian kita, takkan mahu menyalahkan takdir. Takkan orang yang pergi ke tempat maksiat mahu dikatakan itu juga takdir?” katanya yang juga tenaga pengajar dan Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Alor Star, Kedah.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Akan datang suatu masa kepada umatku, jika mereka melakukan dosa dan kemungkaran lalu untuk membenarkan segala penyelewengan mereka, maka mereka berkata, sudah ditentukan oleh qada’ dan qadarnya. Katakanlah kepada mereka, bahawa mereka bukan termasuk umatku.” Muhamad Fauzi berkata, dalam urusan takdir masih ada peluang untuk mengelak daripada ketentuan yang tidak diingini, khususnya melalui doa.“Doa adalah ibadat, Allah s.w.t berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan untuk kalian.” (Hadis riwayat Abu Daud)
dipetik dari
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20071026101122/Article/indexv_html